RAIHANPAHIMI

publish your book for free?AFF=9142

Sunday, 26 April 2015

BAGAIMANA MEMIKAT HATI MERTUA ?

Cara Memikat Hati Mertua

Kepada anda yang bakal mendirikan rumahtangga (dah menjadi tunangan orang), baru melangkah ke alam perkahwinan dan yang dah lama berkahwin, mesti ramai yang ingin tahu bagaimana cara memikat hati mertua. 

Menjadi lumrah dalam hidup berumah tangga berlaku sedikit salah faham di antara mertua dan menantu, keadaan ini berlaku kerana untuk meserasikan budaya hidup dari dua keluarga yang kadang kala begitu jauh sekali perbezaanya.  Mahu tidak mahu kita sebagai menantu mestilah pandai 
mengambil hati dan cuba mengubah cara hidup kita untuk di serasikan dengan kehidupan mertua kita.

Di bawah ini ada beberapa cara untuk memikat hati mertua (sama ada ibu atau ayah mertua) yang boleh sama-sama kita diamalkan.

1. Sebaik sahaja anda sah sebagai tunangannya
Mulakan berkenal kenalan dengan keluarga mertua. Andai tinggal berjauhan, hubungilah mereka melalui telefon sekadar untuk bertanya khabar. Jika duduk berhampiran, cuba sesekali luangkan waktu berkunjung ke rumahnya. Tapi perlu diingat jangan terlampu kerap pula kerana boleh menjemukan.

2. Ketika berkunjung, bawalah buah tangan bersama
Setiap kali berkunjung ke rumah mertua bawalah buah tangan. Sekurang-kurangnya dengan membawa kuih ataupun buah-buahan. Tetapi lebih elok jika anda membawa sesuatu yang boleh dibuat cenderahati. Misalnya dengan memberikan sepasang kain batik atau pelikat sebagai tanda kenangan.

3. Kenali sikap sebenar mertua anda
Tanya kepada pasangan anda, apa yang disukai dan dibenci oleh mertua. Jika anda tahu apa yang disukai dan dibenci, secara tidak langsung ini boleh memberikan persediaan ketika sudah menjadi ahli keluarganya kelak.

4. Setelah berkahwin, jangan sesekali anda memarahi anaknya di hadapan mereka
Keadaan ini memberikan gambaran sebenar sikap anda terhadap anak mereka. Situasi ini mungkin akan menimbulkan kebencian dihati mertua. 

5. Setiap kali bertandang, cuba mengambil hatinya
Dengan bercerita tentang pengalaman lucu yang boleh menghiburkan hatinya. Jangan lupa bercerita dengan sepenuh perhatian agar dia tidak rasa jemu. Ingat, jangan pula anda bercerita sesuatu yang dianggap bodoh dan boleh memalukan diri sendiri.

6. Berkongsi minat dengannya
Kalau dia gemar bercucuk tanam, anda juga harus belajar bercucuk tanam. Kalau dia gemar memasak, tidak salah anda cuba belajar memasak daripadanya. Tunjukkan yang diri anda betul-betul berminat dengan apa yang disukai. Bagaimanapun anda dinasihatkan jangan belajar sambil lewa kerana mungkin dia beranggapan anda tidak serius.

7. Ingat hari-hari penting yang berkaitan dengan mereka
Contohnyaseperti ketibaan Hari Ibu, Ulang Tahun Perkahwinan, Hari Bapa dan Hari Lahir, jangan lupa menelefon mengucapkan sesuatu. Lebih baik jika anda berkunjung ke rumahnya dengan membawa hadiah. Atau anda juga boleh membuat kejutan dengan mengadakan majlis untuk mereka.

8. Paling penting, jaga pertuturan anda
Jika sebelum ini anda seorang yang ‘mulut lepas’, anda dinasihatkan agar menjaga pertuturan anda. Kata orang, kerana mulut, badan binasa. Jadi berhati-hati ketika menuturkan sesuatu di hadapan mereka. Jangan sampai menyinggung perasaan keluarga mertua.

9. Setelah selesai majlis kenduri, pastikan anda ringan tulang membantu mengemaskan apa yang patut
Terutamanya jika kenduri dilakukan dengan memasak sendiri. Pasti banyak barang yang patut dibasuh seperti periuk, kuali, gelas atau pinggan mangkuk. Walaupun anda keletihan, tetapi cuba sibukkan diri dengan menolong apa yang patut. Tetapi jika majlis dilakukan secara katering, cubalah mengemas apa yang patut di dalam atau luar rumah.

10. Cuba mengasihani keluarga mertua seperti anda menyayangi keluarga sendiri.
Anggaplah mereka sebahagian daripada darah daging sendiri supaya hubungan akan bertambah mesra dan berkekalan hingga ke akhir hayat. Walaupun jika ditakdirkan anda tiada jodoh dengan anak mereka, pastikan anda sentiasa menghubungi mereka walaupun sekadar bertanya khabar sahaja.


Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment

Thanks for your comments, I will reply soon.