SOAL JAWAB TENTANG PERKAHWINAN
Bacaan surah An-Nisa', ayat 1 yang bermaksud,
Nabi SAW bersabda yang bermaksud, “Berkahwin itu adalah sunnahku. Barangsiapa yang tidak menyukainya, maka bukanlah dia daripada umatku.” Islam mensyariatkan perkahwinan atas tiga tujuan:
- Pertama - untuk melahirkan zuriat dan keturunan, seperti yang dibacakan dalam ayat tadi. Ada dalam satu hadis Nabi menyebut bahawa baginda akan berbangga dengan umatnya yang ramai di akhirat nanti. Isteri Nabi Adam diriwayatkan bersalin sebanyak 20 kali, dan setiap kalinya kembar dua.
- Kedua – melahirkan cara hidup yang aman, tenteram seperti yang disebut dalam surah Ar-Rum, ayat 21 yang bermaksud: "Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir." Allah menjadikan manusia untuk berpasangan dengan manusia juga. Perkahwinan dibenarkan agar manusia dapat hidup dalam keadaan penuh kasih sayang dan kasihan belas.
- Ketiga – untuk mengelak perkara mungkar dan maksiat. Nabi SAW bersabda yang bermaksud “Wahai orang muda, jika mampu, berkahwinlah”.
Jika salah satu tujuan ini tidak tercapai, maka tidak tercapailah tujuan perkahwinan sebenar dalam Islam.
Senarai soalan & jawapan:
S: Ada orang berkahwin tanpa niat untuk mendapatkan zuriat. Apakah hukumnya?
J: Setiap benda yang dilakukan, atau diciptakan pasti ada tujuan tertentu. Contohnya, jika kita tanam pokok rambutan, tapi setelah lama menunggu tetapi tetap tidak berbuah. Apa yang kita lakukan? Kita akan tebang, bukan? Jadi jika ada pasangan yang kahwin dengan niat begitu, takut-takut termasuk apa yang dikategorikan sebagai kahwin mut'ah yang boleh jatuh haram hukumnya. Lainlah jika memang pasangan itu tidak dikurniakan anak. Contohnya Nabi Ibrahim dan isterinya Siti Sarah yang berkahwin pada awal umur 30 tahun, tetapi masih belum mendapat zuriat setelah berumur 80 tahun lebih.
S: Setelah lama berkahwin, pasangan masih belum mendapat anak. Suami ingin berkahwin lagi, tetapi isteri menghalang. Jadi apakah yang perlu dilakukan?
J: Dalam kisah Nabi Ibrahim, setelah mendengar Nabi Ibrahim berdoa untuk dikurniakan zuriat, Siti Sarah sendiri meminta suaminya berkahwin lagi. Kaum wanita jangan menolak poligami. Dalam surah An-nisa', ayat 3, Allah berfirman yang bermaksud:
"Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman."
Sebelum berbuat apa-apa keputusan, buat ujian dulu untuk menyemak siapakah yang bermasalah – suami atau isteri. Usahakan dahulu untuk mencari alternatif dengan bantuan doktor pakar. Jika tidak berjaya, dan suami subur, izinkanlah suami berkahwin lagi kerana Islam membenarkan. Allah sangat benci kepada perceraian. Isteri pertama boleh membuat syarat agar suami berlaku adil.
S: Jika seseorang berkahwin semata-mata untuk menganiaya pasangannya kerana ingin membalas dendam. Apakah hukumnya?
J: Nikah juga terikat dengan hukum yang 5 iaitu boleh jadi harus, wajib, haram, sunat atau makruh. Jika niatnya begitu, hukumnya haram. Tetapi jika setelah berkahwin, pasangannya pandai memujuk sehingga niatnya berubah, hukum haram tapi berubah menjadi harus.
S: Apakah hukum seorang lelaki yang mengahwini seorang perempuan untuk diceraikan setelah itu?
J: Jika begitu, mengapa berkahwin. Nabi SAW bersabda, “Berkahwinlah kamu dan jangan bercerai-berai.” Jadi jika mereka niat begini, perkahwinan itu sah tetapi hukumnya haram. Jika boleh biarlah maut yang memisahkan kita yang berkahwin. Kita juga mengharap agar dapat bertemu semula di syurga. Sebagai masyarakat, kita jangan silap mendoakan pengantin bahagia sehingga ke anak cucu sahaja. Doakanlah kebahagian mereka di dunia hingga ke akhirat.
S: Jika seseorang ingin berkahwin, adakah perlu dibuat majlis Walimatul Urus? Apakah hukum meninggalkannya?
J: Nabi SAW bersabda yang bermaksud jika kamu bernikah, iklankanlah. Maksud iklan disini adalah menghebahkan kepada orang-ramai. Kenduri sunat dilakukan, tetapi biarlah mengikut kemampuan masing-masing. Kompang boleh digunakan untuk mewar-warkan perkahwinan tersebut. Boleh bersanding, tetapi ikutlah cara Islam, tutup aurat dengan sempurna dan jaga syariat. Pekahwinan tidak elok disorok-sorok.
S: Apakah perbezaan perkahwinan ketika zaman Jahiliyyah dan selepas Islam?
J: Pada zaman Jahiliyyah, wanita dipaksa untuk berkahwin. Mereka juga ada ramai isteri. Jika ayahnya meninggal, anak lelakinya boleh mengahwini mana-mana ibu tirinya, selagi bukan ibu kandungnya. Mas kahwin tidak diberi kepada wanita sebaliknya diambil oleh pihak lelaki. Oleh sebab itu Allah turunkan ayat 19, surah An-nisa' yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksaan, dan janganlah kamu menyakiti mereka (dengan menahan dan menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian dari apa yang kamu telah berikan kepadanya, kecuali (apabila) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu)."
Lagi disebut dalam ayat 4, suran An-Nisa' yang bermaksud:
"Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu maskahwin-maskahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya."
S: Bagaimana jika berlaku perkahwinan secara paksa, apakah hukumnya?
J: Kalau sempurna rukun nikah yang lima – ada bakal suami atau wakil, bakal isteri, wali, 2 orang saksi, ijab & kabul, hukumnya sah. Tetapi walaupun sah, jika terpaksa, ditakuti tiada keberkatan di dalamnya. Nabi SAW bersabda yang bermaksud jika anak gadis ingin dikahwinkan, perlu diminta izin daripada dirinya. Tetapi jika janda, tidak perlukan izin dirinya. Biarlah kedua-dua belah pihak redha dengan perkahwinan agar mendapat keberkatan daripada Allah SWT.
S: Jika tak silap saya, ada ibu bapa yang menjadikan majlis perkahwinan sebagai sumber perniagaan. Apa pandangan ustaz?
J: Betul, ada ibubapa yang berharap sumbangan yang diberi akan memberikan untung kepadanya. Sebenarnya kenduri itu dilakukan sebagai tanda kesyukuran dan semata-mata kerana Allah. Jadi ibu bapa tidak sepatutnya mengharapkan pulangan wang ringgit, hatta ucapan terima kasih sekalipun.
Wallahu'alam.
Sumber : Tanyalah Ustaz TV9
No comments:
Post a Comment
Thanks for your comments, I will reply soon.