RAIHANPAHIMI

publish your book for free?AFF=9142

Friday, 3 April 2015

ZAKAT FITRAH (KEWAJIPAN DAN HIKMAHNYA)

ZAKAT FITRAH ( KEWAJIPAN DAN HIKMAHNYA)

Bersempena dengan ketibaan bulan Ramadhan Al-Mubarak, maka umat Islam dituntut juga untuk menunaikan, salah satu daripada rukun Islam yang lima, iaitu menunaikan zakat. Di dalam kitab-kitab fiqah, para fuqaha' telah membahagikan zakat kepada 2 bahagian iaitu :


i. Zakat Harta : ditunaikan sepanjang tahun, setelah cukup syarat-syaratnya.

ii. Zakat Badan : dikenali dengan zakat fitrah, ditunaikan dari 1 Ramadhan hingga sebelum solat sunat Id-Fitri 1 Syawal.

Zakat fitrah ertinya zakat diri yang difardhukan ke atas setiap individu samada lelaki ataupun perempuan, yang kecil mahupun yang besar, merdeka mahupun hamba, dari kalangan orang-orang Islam, dengan syarat-syarat yang ditetapkan. Ianya jelas dinyatakan oleh Rasulullah ( s.a.w ) di dalam satu hadithnya, yang bermaksud :

"Rasulullah s.a.w telah memfardhukan zakat fitrah pada bulan Ramadhan ke atas manusia dengan mengeluarkan satu gantang kurma atau satu gantang syair (sejenis gandum) atas tiap-tiap lelaki dan perempuan, kecil mahupun besar samada merdeka mahupun hamba daripada orang-orang Islam"
( Riwayat Bukhari & Muslim )

Di antara syarat-syarat yang mewajibkan zakat fitrah ditunaikan ialah :
i. Islam

ii. Mempunyai lebihan makanan dan harta untuk keperluan sekeluarga beserta tanggungan, bagi 1 Hari Raya termasuk malamnya.

iii. Anak yang lahir sebelum jatuh matahari pada akhir bulan Ramadhan dan hidup selepas terbenam matahari.

iv. Seseorang yang memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramdhan dan berkekalan Islamnya.

v. Seseorang yang meninggal dunia selepas terbenam matahari pada akhir Ramdhan.
Walaupun kadar zakat fitrah yang dikenakan ke atas setiap individu muslim itu adalah kecil, namun ganjaran dan hikmahnya adalah amat besar. Ini jelas kepada kita melalui sebuah hadith Rasulullah, yang bermaksud :

" Puasa Ramadhan seseorang itu ( puasa yang tidak sempurna ), akan tergantung di antara langit dan bumi, dan ianya tidak akan naik melainkan disempurnakan zakat fitrah"

Daripada hadith ini, jelas kepada kita bahawa, sekiranya amalan puasa yang kita laksanakan di sepanjang bulan Ramadhan, hanyalah sekadar menahan lapar dan dahaga, sedangkan pancaindera kita yang lain masih lagi melakukan perkara-perkara yang mencacatkan puasa tersebut, maka dengan menunaikan zakat fitrah, yang di umpamakan pembersih mahupun menampal segala kekurangan dan kekotoran yang dilakukan selama sebulan Ramadhan tersebut.

Dalam satu hadith lain, Rasulullah menegaskan melalui sabdanya yang bermaksud :

"Rasulullah s.a.w telah memfardhukan zakat fitrah pada bulan Ramadan untuk menyucikan bagi orang yang berpuasa daripada segala perkataan yang keji dan sia-sia dan untuk memberi makanan bagi orang-orang miskin"

Hadith ini pula menjelaskan kepada kita, betapa ibadah zakat fitrah ini, mempunyai hubungan yang rapat dengan perihal kemasyarakatan. Di mana golongan yang kurang bernasib baik akan merasakan juga kegembiraan dan kebahagian khususnya dalam menyambut Id-Fitri. Mereka ini juga akan merasakan bahawa, masyarakat tidak akan melupakan, bahkan bersama-sama untuk membantu mereka dalam mewujudkan suasana tolong-menolong pada hari yang berbahagia itu. Ini bersesuaian dengan satu hadith Rasulullah yang bermaksud :

"Cukupkanlah mereka ( orang yang meminta-minta ) pada hari itu ( Id-Fitri )"
Dewasa ini , kebanyakan masyarakat mengambil kesempatan untuk menunaikan ibadah zakat fitrah ini, dengan mengambil waktu afdhal iaitu sebelum sembahyang sunat hari raya. Namun demikian dikhuatiri fanomena seperti ini akan memberikan kesulitan kepada para amil, khususnya diwaktu hampir ingin mendirikan sembahyang sunat Id-Fitri. Sehubungan dengan itu, Rasulullah telah menjelaskan dalam satu hadithnya yang bermaksud :

"…Maka sesiapa yang mengeluarkan zakat fitrah sebelum sembahyang Hari Raya, maka itulah yang diterima dan sesiapa yang mengeluarkannya sesudah sembahyang Hari Raya, maka ianya hanyalah merupakan sedekah sahaja"

Para ulama' fiqah telah mengkelaskan waktu-waktu dalam menunaikan zakat fitrah ini, iaitu :

i. Waktu wajib : setelah terbenam matahari akhir Ramadhan sehingga terbit fajar Hari Raya Id-Fitri.
ii. Waktu Afdhal : selepas Subuh pada Hari Raya hingga sebelum sembahyang sunat Id-Fitri.
iii. Waktu Harus : sepanjang bulan Ramadhan bermula dari awal Ramadhan.
iv. Waktu makruh : selepas sembahyang sunat Id-Fitri hingga terbenam matahari pada 1 Syawal.
v. Waktu haram : jika dita'khirkan sehingga terbenam matahari 1 Syawal.

Masyarakat Islam setempat juga, diseru agar dapat menunaikan ibadah zakat fitrah ini melalui amil-amil zakat fitrah yang dilantik. Ini kerana bagi menjamin keberkesanan pengagihan yang akan dibuat oleh pihak berkuasa Agama Negeri contohnya kalau di Negeri Sembilan ialah Baitul Mal, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan. Walaupun sebahagian ulama' berselisih pendapat berhubung dengan penyerahan terus zakat fitrah ini kepada yang berhak, namun adalah lebih baik diserahkan melalui amil-amil yang dilantik kerana ini akan membolehkan ianya diagihkan dengan lebih menyeluruh kepada asnaf yang berhak di seluruh negeri, berbanding dengan hanya seorang sahaja yang menerima.

Dalam kita membicarakan zakat fitrah ini juga, aspek keikhlasan dan kepatuhan dalam menunaikan ibadah kepada Allah juga, hendaklah dititik beratkan. Ini kerana, terdapat juga segelintir masyarakat yang enggan menunaikannnya dan tidak kurang juga yang menunaikannya dalam keadaan terpaksa, seolah-olah ibadah zakat fitrah ini dianggap bebanan kepada mereka. Justeru itu, marilah kita sama-sama merenung sejenak, berapa banyakkah nikmat Allah yang telah kita perolehi ? Berapa banyakkah kemudahan yang disediakan oleh Allah, yang kita gunakan, yang telah memberikan manfaat kepada kita di muka bumiNya ini ? Lantaran itu, apalah sangat zakat fitrah yang hanya diwajibkan sekali setahun, kalau dibandingkan dengan nikmat Allah yang telah kita gunakan. Allah berfirman dalam Al-Quran, yang bermaksud :

"…janganlah hendaknya kamu batalkan pahala sedekah ( zakat ) kamu itu dengan rungutan dan kata-kata kesat ( menyakitkan ) kepada orang yang menerima"

Akhirnya, marilah kita sama-sama berazam untuk menunaikan ibadah zakat ini samada zakat fitrah mahupun zakat harta, demi melaksanakan satu ibadah yang bukan sahaja menyucikan diri manusia dari sudut peribadatan, malah ianya juga merupakan benteng kepada harta benda kita disamping, membuktikan tanda kesyukuran kita ke atas nikmat Allah yang maha luas ini. Rasulullah dalam satu hadithnya menyatakan, maksudnya :

"Bentenglah harta benda kamu dengan menunaikan zakat"


sumber: Ustaz Nor Azmi Hj Musa

No comments:

Post a Comment

Thanks for your comments, I will reply soon.